QR Code

Support


KUALA LUMPUR, 13 April – 264 atlet, jurulatih dan pegawai menerima dos pertama vaksin COVID-19 hari ini bertempat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras.

Menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Kementerian Belia dan Sukan, kumpulan pertama yang menerima suntikan vaksin Pfizer-BionTech ini terdiri daripada kontinjen Malaysia yang akan ke temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican turut menerima suntikan bersama-sama atlet selain Presiden Majlis Olimpik Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’Sri Mohamad Norza Zakaria, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Dato’ Sri Megat D Shahriman Dato’ Zaharudin dan Ketua Setiausaha KBS, YBhg Datuk M.Noor Azman Taib.

Antara atlet yang menerima suntikan hari ini adalah Farah Ann Abdul Hadi (Gimnastik), Khairul Anuar Mohamad (Memanah), Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri (Akuatik-Terjun), Muhamad Ziyad Zolkefli, Mohd Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romly (Para Olahraga), Nur Syazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (Pelayaran).

Sukan Olimpik akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 manakala Sukan Paralimpik akan diadakan pada 24 Ogos hingga 5 September 2021. Sehingga kini seramai 12 orang atlet telah berjaya melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang melibatkan 5 jenis sukan iaitu Akuatik-Terjun, Pelayaran, Berbasikal, Memanah dan Gimnastik Artistik. Manakala seramai 23 orang atlet kini berada dalam program RTT untuk proses kelayakan.

Sukan Paralimpik pula seramai 10 orang atlet dari Akuatik-Renang, Memanah, Olahraga, Badminton, Boccia dan 3 slot untuk Sukan Berbasikal telah berjaya melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Manakala 14 orang atlet masih menjalani proses kelayakan yang akan tamat pada Jun ini.

Kongsi di
Media Sosial

Logo-logo

Kongsi di
Media Sosial

Logo-logo