QR Code

Support

KUALA LUMPUR, 14 April 2021 – YB. Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan hari ini telah melancarkan Detik 100 hari ke Tokyo 2020 di Dewan Banquet Casa 4, Majlis Sukan Negara.

Temasya Sukan Olimpik dijadualkan pada 23 Julai – 3 Ogos 2021 manakala Sukan Paralimpik pula akan berlangsung pada 24 Ogos – 5 September 2021 (132 hari lagi).

Sehingga kini seramai 12 orang atlet telah berjaya melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang mana melibatkan 5 jenis sukan iaitu Akuatik-Terjun, Pelayaran, Berbasikal, Memanah dan Gimnastik Artistik. Proses kelayakan masih berlangsung sehingga bulan Jun ini. Dan Seramai 23 orang atlet kini berada dalam program RTT untuk proses kelayakan tersebut. Manakala untuk Sukan Paralimpik pula seramai 10 orang atlet dari Akuatik-Renang, Memanah, Olahraga, Badminton, Boccia dan 3 slot untuk sukan berbasikal telah berjaya melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan seramai 14 orang atlet masih menjalani proses kelayakan yang akan tamat pada Jun 2021.

Bagi menyemarakkan lagi kehangatan sukan berprestij ini, beberapa program telah diatur oleh Majlis Sukan Negara antaranya Program Jelajah Road To Tokyo 2020 yang bertujuan untuk mendapatkan sokongan masyarakat serta membangkitkan semangat atlet yang akan berjuang di Temasya Sukan/Paralimpik Tokyo 2020.

Program jelajah secara kayuhan ini akan diwakili oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada lima (5) orang di setiap negeri dengan pematuhan SOP Sukan dan Rekreasi yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Kayuhan ini bermula di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan dijangka akan berakhir di Kuala Lumpur pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik dan Paralimpik, Tokyo 2020 bulan Julai nanti.

Hari ini turut menyaksikan pelancaran laman web rasmi kontinjenmalaysia.my yang akan menjadi medium hebahan makluman semasa, platform untuk mendapatkan sokongan dan pandangan masyarakat Malaysia terhadap atlet-atlet negara yang bakal berjuang di temasya berprestij ini.

QR Code Support RTT 2020 juga telah diaktifkan bagi tujuan mendapatkan sokongan rakyat Malaysia dan melihat taburan penyokong RTT 2020 ini.

Laungan #DEMIMALAYSIA pula merupakan slogan yang akan digunakan untuk merealisasikan cita-cita negara ke arah mencapai kejayaan dan mengorak langkah dengan lebih berani, lebih positif dan kental pada setiap masa khususnya kepada atlet-atlet negara yang akan berjuang di Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo nanti walau dalam apa jua keadaan.

#DemiMalaysia kita mengharungi setiap cabaran yang menanti.

#DemiMalaysia mengerah keringat dan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.

#DemiMalaysia berusaha menjadikan Malaysia lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sekian.

Kongsi di
Media Sosial

Logo-logo

Kongsi di
Media Sosial

Logo-logo