QR Code

Support

KUALA LUMPUR, 13 JULAI – Seluruh rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi untuk melihat Jalur Gemilang berkibar megah di langit Tokyo serta menantikan lagu Negaraku bergema di bumi negara matahari terbit.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob melontarkan keyakinan ke atas kemampuan kontinjen negara untuk menghadirkan berita gembira dari Tokyo buat penyokong tanah air.

“Saya dapat merasakan semua rakyat Malaysia sehati sejiwa memberikan sokongan padu kepada atlet-atlet negara untuk meraih pencapaian terbaik di dalam kejohanan sukan paling berprestij dunia ini.

“Saya amat yakin dengan kemampuan anda semua. Berjuanglah berhabis-habisan demi memastikan nama negara subur dan harum di persada antarabangsa. Selamat berjuang buat kontinjen Malaysia,” katanya pada Majlis Amanat Perdana kepada Kontinjen Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 secara maya, hari ini.

Dato’ Ismail Sabri yang mewakili Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara yang diterima oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria dan diserahkan kepada Chef de Mission Sukan Olimpik Tokyo, Datuk Wira Lee Chong Wei.

Manakala Jalur Gemilang untuk Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pula diserahkan kepada Presiden Majlis Paralimpik Malaysia yang juga Chef de Mission, Datuk Sri Megat D.Shariman Zaharuddin.

Sukan Olimpik akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Paralimpik akan diadakan pada 24 Ogos hingga 5 September 2021.

Kongsi di
Media Sosial

Logo-logo

Kongsi di
Media Sosial

Logo-logo